Habib Salim Bin Hafidz Bin Syaikh Abu Bakar bin Salim adalah kakek Habib Umar bin Muhammad Bin Hafidz yang masyhur dewasa ini. Beliau lahir di Bondowoso, Pulau Jawa pada 25 Syawwal 1288H / 6 Januari 1872M.
Kemudian beliau dibawa ayahandanya balik ke Kota Misythah, Hadhramaut ketika beliau berusia kira-kira 8 tahun. Beliau menerima didikan awal daripada ayahnya dan beberapa ulama di Kota Misythah antara lain dengan Sekh Abud bin Sa’id Ba Syu’aib dan Syekh Abdullah bin Hasan Ba Syu’aib.

Pada 1304H, beliau meneruskan pencarian ilmunya dengan mendatangi Kota Tarim al-Ghanna. Di kota yang penuh berkah ini, beliau menimba pengetahuan agama dari para ulama di sana antara lain Abdullah bin Ahmad Ba Gharib dan Habib Abdur Rahman bin Muhammad al-Masyhur. Selain Kota Tarim, beliau juga mengadakan perjalanan untuk mendalami ilmunya juga untuk menyebarkan ilmu dan dakwah ke Seiwun, Do’an, al-Haramain, Zanzibar, Mombasa, India dan tidak ketinggalan tanah kelahirannya, Pulau Jawa.

Di negeri-negeri yang dikunjunginya, beliau tidak melepaskan peluang untuk mengadakan pertemuan dan menjalin hubungan dengan para ulama dan awliya’ yang menetap di sana. Hasil pertemuan dan hubungan ini, baik berupa wasiat, nasihat dan ijazah beliau kumpulkan dalam satu catatan yang dinamakannya “Minhah al-Ilah fil ittishal bi ba’dhi awliya“. Habib Salim terkenal sebagai seorang ulama yang bersifat khumul yang tidak suka namanya dikenali orang, yang penting baginya ialah keredhaan Allah SWT, dan bukannya penghargaan manusia.

Di akhir hayatnya, sifat khumul ini semakin terlihat dengan menyembunyikan dirinya dalam majlis-majlis umum dengan duduk di shaf yang paling belakang. Beginilah sikap beliau hingga dipanggil pulang ke rahmatUllah pada tahun 1387H di Kota Misythah. Walaupun beliau tidak meninggalkan karya ilmiah yang banyak, tetapi perjuangannya diteruskan anak cucunya antara lain oleh anaknya Habib Muhammad bin Salim dan kini teruskan oleh cucu-cucunya Habib ‘Umar bin Muhammad dan Habib Ali Masyhur bin Muhammad.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here